Anggota penguatkuasa MBSA sedang merobohkan struktur binaan tanpa kebenaran ketika Operasi meroboh binaan tanpa kebenaran Hotel di Bukit Rimau, Shah Alam pada 24 Disember. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA roboh struktur hotel bajet beroperasi tanpa lesen

SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan struktur haram sebuah hotel bajet di Seksyen 32 di sini selepas didapati melanggar peraturan di bawah Akta 133, Akta 172 dan juga Undang-Undang Kecil Hotel.

Timbalan Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Azlan Dolah berkata, hotel bajet yang beroperasi di Bukit Rimau itu juga didapati telah menerima sembilan notis dan kompaun sejak 2016.

“Kami menjalankan operasi bersepadu jabatan dalaman MBSA dan juga pihak polis untuk merobohkan struktur dalam premis di Seksyen 32 Shah Alam ini kerana melanggar peraturan di bawah Akta 133, Akta 172 dan juga Undang-Undang Kecil Hotel.

“MBSA juga telah mengeluarkan sembilan kompaun di bawah kesalahan menjalankan operasi hotel tanpa kebenaran dan kali terakhir pada 6 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM8,400,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas operasi dijalankan di Bukit Rimau, Seksyen 32 di sini, hari ini.

Azlan berkata, operasi yang membabitkan 80 pegawai jabatan dalaman MBSA, anggota penguatkuasa dan polis itu diketuai Ketua Operasi iaitu Arkitek Jabatan Bangunan MBSA, Yunus Yaakob.

Katanya, notis di bawah Seksyen 70 (1), Akta 133 telah diserahkan kepada operator pada 23 Mei bersama notis 72 (1) Akta 133 supaya pemilik merobohkan sendiri struktur yang dibina tanpa kelulusan MBSA.

Azlan berkata, pihak MBSA sekali lagi mengeluarkan notis 72 (6) akta sama pada 24 Julai.

“Pihak MBSA amat tegas dan profesional dalam menjalankan tugas. Segala notis berkaitan telah kami berikan kepada pemilik premis atau operator sebelum ini.

“Pihak MBSA sebenarnya tiada masalah memberi kelulusan tetapi pemilik perlu mohon dengan mengikut syarat ditetapkan seperti banyak hotel bajet lain yang mendapat kelulusan MBSA,” katanya.

Katanya lagi, operasi dijalankan membabitkan kerja merobohkan petisyen dan restoran yang dibina dalam hotel terbabit.

“Manakala, struktur tambahan yang dibina bersebelahan bangunan itu dirobohkan pihak hotel sendiri,” katanya.


Pengarang :