Penguat kuasa MBSA mengalihkan besi buruk diletakkan di kawasan parkir perindustrian Seksyen U2 dalam satu operasi hari ini. Foto ihsan MBSA
PBTSELANGOR

MBSA sita 60 ‘besi buruk’ tersadai

SHAH ALAM, 10 DIS: Ibarat ‘semak besi’, itu yang dapat menggambarkan keadaan di kawasan parkir perindustrian Seksyen U2, di sini, sehingga memaksa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita kira-kira 60 kenderaan usang dipercayai ditinggalkan pemilik bengkel untuk tempoh lama.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata tindakan hasil pemantauan dan aduan awam itu mendapati premis di kawasan terbabit tidak mematuhi syarat serta peraturan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“Sebanyak 140 notis di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) dikeluarkan termasuk memberi tempoh selama dua minggu kepada pengusaha bengkel dan pemilik kenderaan untuk mengalihkan kenderaan rosak sebelum operasi sitaan dijalankan.

“Malah, kita turut mengeluarkan notis untuk mengalihkan tujuh kontena yang diletakkan tanpa kebenaran di sekitar kawasan ini. Bagaimanapun, kita mendapati ada yang mematuhi arahan dan ada juga yang gagal berbuat demikian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Operasi Bersepadu Penyelesaian Aduan Kacau Ganggu, Halangan dan Pembersihan di Taman Perindustrian Saujana Indah, Seksyen U2 di sini hari ini.

Shahrin berkata pihaknya terpaksa menanggung kos sebanyak RM130 bagi setiap kenderaan terbengkalai untuk dihantar ke depoh simpanan ekoran keengganan pemilik bengkel mengalihkan kenderaan terbabit.

Katanya kenderaan buruk itu bukan hanya mencacatkan pandangan, malahan menyukarkan kerja pembersihan dan berpotensi menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa serta tempat takungan air yang boleh mengundang pembiakan nyamuk.

“Kita terpaksa membelanjakan peruntukan (untuk mengalihkan kenderaan) sedangkan ia boleh digunakan untuk melakukan perkara lain yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Selain menggunakan peralatan dan aset sedia ada seperti jentera, kita memerlukan perkhidmatan luar seperti kenderaan besar untuk mengeluarkan kontena panjang yang terdapat di kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya jumlah kenderaan buruk yang disita meningkat saban tahun dan hanya 20 peratus pemilik membuat tuntutan kenderaan masing-masing, termasuk menjelaskan kompaun RM600 untuk setiap kenderaan.

Terdahulu, MBSA turut membersihkan kawasan, menarik tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) dan kabin tanpa kebenaran dan merobohkan struktur binaan tanpa kebenaran sepanjang tiga jam operasi berkenaan.

Operasi itu membabitkan anggota di beberapa jabatan dalaman MBSA termasuk agensi luar seperti polis, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Jabatan Imigresen Selangor.


Pengarang :