Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA tawar pengurangan kompaun parkir sepanjang Januari

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan bayaran kompaun tempat letak kereta sempena Kempen Pengurangan Kompaun sepanjang Januari tahun depan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata bayaran kompaun akan dikurangkan kepada RM10 bagi kesalahan sejak 2002 hingga 2009 daripada jumlah asal.

Manakala, katanya pengurangan kepada RM30 diberikan bagi kesalahan dari 2010 hingga 2020.

“Kempen ini untuk membantu dan menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan sebelum tindakan tegas dikenakan jika mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya MBSA turut menawarkan pengurangan sehingga 50 peratus terhadap kes di bawah kesalahan Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

“Ini termasuk Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pembayaran di kaunter utama Wisma MBSA, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.


Pengarang :