Sesi Dialog Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Negeri Selangor di Bawah Pentadbiran MBSA di Dewan Rafflesia Seksyen U16, Shah Alam. 16 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA tubuh pasukan khas pantau aktiviti kilang haram

SHAH ALAM, 16 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara agresif akan mengambil tindakan kepada pemilik kilang haram dan pemilik berdaftar tanah yang ingkar dengan arahan Kerajaan Negeri.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya menubuhkan pasukan tindakan khas bagi Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran untuk memantau, menyelaras dan melakukan tindakan perobohan.

Katanya, tindakan itu akan diambil di bawah Akta 172 Perancang Bandar dan Desa 1976; Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta 171 Akta Kerajaan Tempatan.

“Pasukan tindakan khas ini akan melaporkan semua tindakan yang dijalankan kepada satu jawatankuasa khas program pematuhan syarat dan penguatkuasaan kilang haram.

“Kita juga bertanggungjawab untuk menyelaras dan menjalankan bancian terkini kilang haram yang dibina dan beroperasi sebelum 28 Ogos 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Kali Ketiga Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran, di Dewan Rafflesia Seksyen U16, di sini.

Haris berkata, selain bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan perobohan, pasukan itu juga perlu memberi penerangan serta hebahan kepada pemilik tanah dan pengusaha kilang.

“Justeru, kita memohon semua pemilik kilang haram ini untuk mematuhi segala yang sudah ditetapkan sebelum pihak kami mengambil sebarang tindakan tegas,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menggariskan dasar baharu bagi kilang yang beroperasi tanpa kebenaran.

Kaedah pelaksanaan Program Pematuhan Syarat dan Penguakuatsaan Kilang Tanpa Kebenaran itu terdiri daripada dua peringkat iaitu tindakan penguatkuasaan dan tempoh pemutihan serta penawaran insentif.


Pengarang :