Selangorkini
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berucap ketika Konvensyen AMANAH Nasional 2019 di IDCC, Shah Alam pada 6 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

‘Melayu terancam’ naratif ahli politik gagal

SHAH ALAM, 6 DIS: Kelompok politikus yang gagal dilihat cuba mewujudkan perspektif dan naratif ancaman sehingga menimbulkan keresahan orang Melayu demi mengaut undi.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, individu atau kelompok itu mahu orang Melayu sentiasa diburu keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti.

“Naratif Melayu terancam dibina oleh kelompok politikus yang gagal.

“Ia hanya akan menambahkan kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan.

“Isu agama, bahasa, himpunan anti Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD), statut Rom dan sebagainya adalah lanjutan keresahan Melayu yang sudah lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pidato Presiden di Konvensyen AMANAH Nasional 2019 di Pusat Konvensyen IDCC di sini, hari ini.

Amirudin Shari (kanan) bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (kiri) ketika Konvensyen AMANAH Nasional 2019 di IDCC, Shah Alam pada 6 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Konvensyen itu turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor, Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.

Mohamad berkata, tindakan berkenaan terus diperbaharui oleh aktor yang silih berganti demi survival politik golongan politikus gagal.

Katanya, mereka menggunakan pendekatan ultra ethno-nasionalisme atau ketuanan bangsa seterusnya menghakis teras kebangsaan.

“Kegagalan ini juga berpunca oleh sikap sebahagian masyarakat yang tidak memahami falsafah dan proses pembinaan negara Malaysia terbentuk.

“Manakala di satu pihak lain, mereka menggunakan liberalisme demokrasi sebagai topeng menghakis jati diri kebangsaan diasaskan sejak merdeka.

“Bercakap atas nama kebebasan dan keadilan tetapi untuk maksud keuntungan kelompoknya sahaja,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu seperti mewujudkan kelompok yang menggunakan agama, kaum, wilayah dan memiliki pasaran serta habuan politik yang lumayan.


Pengarang :