AGENDANASIONAL

Modus operandi baharu jual barang berjenama tiruan di hotel

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Seorang lelaki dan wanita yang sedang leka mengadakan jualan murah barangan berjenama terkenal tiruan ditahan dalam operasi di sebuah hotel di Bangsar di sini petang semalam dan 890 unit pelbagai jenis pakaian berjenama bernilai lebih RM400,000 turut dirampas.

Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata ia antara modus operandi baharu sindiket barangan tiruan yang dikesan mengadakan jualan di hotel untuk meyakinkan orang ramai dan mengaburi pihak berkuasa.

Katanya dalam serbuan oleh KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an menjual barangan seperti kaca mata, topi, skaf dan baju yang menggunakan jenama Gucci, Nike, Versace dan Dior.

“Mereka memperdaya orang ramai kononnya setiap barangan yang dijual diberikan diskaun yang tinggi dan menjualnya dengan harga serendah RM100 sehingga RM2,000 bergantung kepada jenis barang.

“Promosi berhubung jualan murah barangan berjenama di hotel ini kebiasaannya dibuat menerusi laman sosial Facebook,” katanya kepada pemberita di Stor KPDNHEP WPKL di sini, hari ini.

Menurutnya kebiasaannya jualan murah itu diadakan pada hujung minggu atau waktu perayaan.

Sehubungan itu Shamsul Nizam meminta orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli barangan berjenama terkenal dan menggalakkan mereka supaya mendapatkannya terus daripada pengedar yang sah.

“Orang ramai boleh membuat laporan sekiranya mengesyaki barangan yang dijual di lokasi tertentu adalah tiruan,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 102(1) (b) Akta Cap Dagangan 2019.

-BERNAMA


Pengarang :