Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali melaungkan Reformasi bersama barisan kepimpinan yang hadir ketika Kongres KEADILAN Nasional berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKR gesa jangan terjebak politik perkauman

AYER KEROH, 5 DIS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggesa semua pihak supaya tidak terjebak ke dalam kancah politik perkauman dan agama yang sempit selaras dengan hasrat Malaysia Baharu.

Beliau berkata, naratif Malaysia Baharu perlu dibangunkan dengan prinsip berteraskan keadilan, kesaksamaan dan kesederhanaan bagi membingkai perpaduan bersama malah ia menjadi tanggungjawab anak muda serta wanita.

“Malaysia Baharu tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman dan agama yang sempit sebaliknya Malaysia Baharu menuntut kita untuk berpegang kepada prinsip-prinsip yang luhur, sederhana serta merai dan mendakap kepelbagaian.

“Kita perlu bekerja berganding bahu untuk membingkai perpaduan, mencapai kesejahteraan, memperkukuh ekonomi bandar dan desa, wilayah dan negara demi kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda (AMK) dan Wanita KEADILAN 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Katanya, Kongres Nasional KEADILAN kali ini menjadi tumpuan ramai sejak berminggu lalu berbanding liputan Perhimpunan Agung UMNO yang disifatkannya hampir tenggelam dan tidak dibincangkan.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor, Amirudin Shari bersalaman dengan barisan kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN ketika Kongres KEADILAN Nasional berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Malah, Mohamed Azmin turut melahirkan rasa syukur kerana masih kekal bersama rakan seperjuangan sejak KEADILAN ditubuhkan 20 tahun lalu.

Dalam ucapan sama beliau turut menasihatkan Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN supaya menyelami denyut nadi rakyat sementara Pakatan Harapan pula perlu meraikan kepelbagaian pendapat serta wacana fikiran yang sihat.

“Tahun ini genaplah 20 tahun KEADILAN. Saya bersyukur kerana setelah 20 tahun kita berjuang dan bertempur, saya kekal teguh bersama-sama saudara-saudari, teman-teman seperjuangan.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang kekal setia dan sentiasa tenang dalam perjuangan.

“Saya bangga bersama angkatan muda, wanita dan srikandi yang dinamik, bertenaga dan bersemangat waja untuk terus membawa obor perjuangan peduli rakyat.

Mohamed Azmin sebelum itu tiba dengan mengayuh beca sambil diiringi Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Hadir sama, Pengerusi Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari yang turut mengambil kesempatan bersalaman bersama perwakilan yang hadir.


Pengarang :