Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Puan Elya Marini Darmin
PBTSELANGOR

MPK berjaya arah 64 kilang plastik haram hentikan operasi

KLANG, 30 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya memberhentikan operasi 64 kilang plastik haram di kawasan pentadbirannya sejak awal tahun ini sehingga 31 November lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Elya Marini Darmin berkata, operasi itu bagaimanapun diteruskan kerana terdapat 55 kilang plastik haram dikesan masih beroperasi.

Katanya, tindakan pemberhentian operasi kilang plastik haram itu juga dilaksanakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi memotong bekalan elektrik serta sumber air dari kilang terbabit.

“MPK mengucapkan terima kasih kepada TNB dan Air Selangor di atas kerjasama yang diberikan kepada kami dalam menjayakan operasi kilang plastik haram ini.

“Manakala, kita juga bercadang untuk menubuhkan pasukan khas bagi menangani kes ini mulai 2 Januari tahun depan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menangani kilang haram di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil 12/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, pasukan khas itu akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah Klang dan bertindak untuk memberikan makluman sekali gus memastikan pekilang beroperasi secara sah.

“Memandangkan Kerajaan Negeri memanjangkan tempoh penguatkuasaan terhadap kilang haram sehingga Oktober 2020, MPK mengambil inisiatif untuk membanteras kes itu bersama pasukan khas terbabit dengan segera,” katanya.


Pengarang :