Exco Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian (empat, kanan) bersama kaki tangan Jabatan Alam Sekitar Selangor dan penduduk setempat meninjau kawasan pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang pada 13 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPK komited pastikan Johan Setia bebas pembakaran terbuka

KLANG, 31 DIS: Berikutan banyak kes pembakaran terbuka dilaporkan berlaku di Johan Setia sehingga menyebabkan jerebu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan membuat kertas kerja bagi mencari jalan penyelesaian agar masalah sama tidak berulang pada tahun depan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Elya Marini Darmin berkata, satu kertas kerja menyeluruh akan dibuat bersama dengan beberapa agensi terlibat seperti Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

Katanya, ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu kes pembakaran terbuka dapat diselesaikan dengan segera.

“Johan Setia merangkumi kawasan Revolusi Hijau seluas lebih 2,000 ekar dengan ada antara tanah itu milik individu manakala sebahagian lagi milik jabatan pertanian menyebabkan masalah itu agak mencabar untuk diselesaikan.

“Segala cadangan akan diusulkan dalam kertas kerja dan ia akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri tahun depan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil 12/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi di sini, semalam.

Sebagai rekod, Johan Setia pernah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 222 berpunca daripada kebakaran beberapa spot termasuk kebun milik MARDI.

Kawasan tanah gambut itu mudah terbakar dan kerap berlaku aktiviti pembakaran terbuka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutama ketika musim panas dan kering.


Pengarang :