Elya Marini Darmin mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis Perbandaran Klang Bil. 12/ 2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, Klang pada 30 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM185.5 juta

KLANG, 30 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip cukai taksiran sebanyak RM185.5 juta sehingga 15 Disember lalu, berbanding RM178.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Elya Marini Darmin berkata jumlah itu meningkat empat peratus dengan perbezaan kutipan sebanyak RM7 juta.

Katanya bagi cukai taksiran penggal 1/2019, MPK berjaya mengutip RM80.5 juta pada Disember 2019 berbanding RM78 juta pada tahun lalu dengan perbezaan sebanyak tiga peratus.

“Bagi cukai taksiran untuk penggal 2/2019, perbezaan sebanyak RM4.3 juta dicatatkan bagi tempoh Disember 2018 dengan kutipan RM79.1 juta berbanding RM74.8 juta tempoh sama tahun lalu.

“Manakala, kutipan tunggakan cukai taksiran pula kita berjaya mencapai 71 peratus sasaran iaitu RM25.9 juta sehingga 15 Disember, meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM25.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil 12/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Sementara itu, Elya berkata MPK turut melaksanakan kempen pembayaran cukai taksiran yang akan diadakan di pasar raya terpilih iaitu Giant Klang Sentral Mall pada 4 hingga 5 Januari dan 11 hingga 12 Januari.

“Selain itu, Aeon Big Jalan Kapar turut mengadakan kempen sama bermula 18 hingga 19 Januari dan 25 hingga 26 Januari bermula dari jam 10.30 pagi hingga 10 malam.

“Kita berharap orang awam yang belum melunaskan cukai taksiran itu untuk segera pergi ke pasar raya yang dinyatakan mengikut ketetapan tarikh berkenaan,” katanya.


Pengarang :