PBTSELANGOR

MPK: Salah pelihara anjing di kawasan sempit

KLANG, 28 DIS: Terdapat pelbagai kesalahan dikesan Majlis Perbandaran Klang (MPK) terhadap pemilik anjing ketika operasi membanteras masalah kacau ganggu haiwan berkenaan dilakukan sepanjang tahun ini.

Antara kesalahan utama ialah memelihara lebih dua ekor anjing di kawasan sempit iaitu di kawasan berukuran kurang 1,000 meter persegi.

Pengarah Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, antara kesalahan lain ialah tidak menjaga tempat peliharaan dengan bersih dan anjing tidak diikat serta dibiarkan berkeliaran di luar premis.

Katanya, pada masa sama pemilik gagal mengawal anjing sehingga mendatangkan gangguan seperti bunyi bising dan bau busuk.

“Bermula Januari hingga Disember, sebanyak 1,572 aduan berkaitan kacau ganggu anjing diterima MPK.

“Anjing yang ditangkap ketika berkeliaran di luar premis boleh dituntut kembali dalam tempoh tujuh hari dengan bayaran kompaun pada kadar maksimum RM1,000 beserta caj harian untuk seekor anjing ialah RM5,” katanya.

Leong Tuck Chee melawat tapak pameran sempena Program Kesedaran Haiwan Kesayangan, Kucing Angkat Dan Perlesenan Anjing di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 28 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Pemilik Haiwan Kesayangan, Kucing Angkat Dan Pelesenan Anjing Peliharaan anjuran MPK di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee.

Azmi berkata, program itu menjadi landasan untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran masyrakat terhadap kepentingan menjadi pemilik haiwan yang bertanggungjawab.

“Kita juga mahu ingatkan kepada orang awam bahawa syarat pemeliharaan haiwan kesayangan adalah mengikut perundangan yang ditetapkan seperti Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang- Undang Kecil Pelesenan Anjing & Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007,” katanya.


Pengarang :