PBTSELANGOR

MPK sita 94 lori buang sampah secara haram

KLANG, 30 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya menyita 94 lori yang membuang sampah secara haram di kawasan pentadbirannya dengan kompaun keseluruhan berjumlah RM145,000.

Timbalan Yang Dipertuanya, Elya Marini Darmin berkata penguatkuasaan tegas akan diambil termasuk menyenarai hitamkan pihak yang masih berdegil.

“Kadang kala denda tidak memberi kesan kepada mereka jadi kita bercadang untuk menguatkuasakan undang-undang supaya kes ini dapat dikurangkan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil 12/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi di sini hari ini.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir.

Mengulas isu pembuangan sampah yang mencacatkan pemandangan di Klang, Elya menyeru masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

Beliau turut meminta orang awam supaya tidak lagi menyalahkan MPK berhubung isu timbunan sampah yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengatasinya.

“Sempena kedatangan tahun baharu tidak lama lagi, kita alu-alukan kerjasama semua pihak untuk memastikan Klang lebih indah berbanding sekarang.

“Kita juga bercadang mahu menubuhkan sukarelawan untuk memantau kegiatan orang awam yang membuang sampah merata-rata dan memaparkan wajah ‘si pembuang sampah’ jika diberi kuasa,” katanya.


Pengarang :