MPS mengambil tindakan tegas merobohkan premis barangan lusuh di Prima Selayang pada 4 Disember 2019.
PBTSELANGOR

MPS roboh premis barang lusuh

SHAH ALAM, 5 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan tegas merobohkan premis barangan lusuh di Prima Selayang, semalam.

Memetik kenyataan MPS, premis berkenaan didapati dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan terbabit.

Katanya, pembinaan bangsal haram itu didirikan di atas tanah rezab Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

“Notis peringatan iaitu di bawah Sekyen 46(1)a, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, mengenai pembinaan pagar zink, tiang, bangsal kekal di tempat awam turut dikeluarkan MPS pada 14 November lalu.

“Namun demikian, pemilik bangsal berkenaan masih ingkar untuk berpindah dari tapak berkenaan,” tulis kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu turut memaklumkan, MPS mengambil tindakan dengan merobohkan premis berkenaan di bawah Seksyen 46 (1) a, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Katanya, operasi bersepadu yang diadakan semalam membabitkan 30 anggota penguat kuasa MPS dan turut mendapat kerjasama daripada anggota polis, Pejabat Tanah Daerah Gombak dan Kumpulan Darul KDEBWM.

“MPS berharap orang ramai dapat mematuhi arahan supaya tidak membina sebarang struktur di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Tindakan tegas akan diambil oleh MPS sekiranya orang ramai masih ingkar,” tulisnya.


Pengarang :