PBTSELANGOR

MPSJ roboh bangunan dibina secara tidak sah

PUCHONG, 5 DIS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melakukan operasi merobohkan struktur bangunan yang dibina secara tidak sah di atas tanah lapang awam Lot PT 1511 dan Lot PT 1570 di Uptown Puchong Permai pada Selasa lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid berkata, MPSJ melaksanakan operasi itu berikutan keengganan pemiliknya meruntuhkan bangunan yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.3 hektar itu.

“Untuk makluman, pihak MPSJ sudah mengadakan perjumpaan dua kali bersama pemilik binaan struktur tanpa kebenaran iaitu pada 8 Oktober dan 13 November bagi memaklumkan berkenaan lokasi pemindahan sementara iaitu bersebelahan tapak premis lama di Dataran Puchong Permai.

“MPSJ melaksanakan operasi ini berikutan keengganan pemilik binaan struktur tanpa kebenaran untuk meruntuhkan bangunan tanpa kelulusan MPSJ,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, MPSJ turut mengeluarkan 26 Notis Pemberitahuan Bangunan (NPB) kepada pemilik binaan struktur tanpa kebenaran pada 9 Mei lalu.

Dalam operasi perobohan itu, sebanyak 24 struktur tanpa kebenaran diambil tindakan perobohan berikutan melakukan kesalahan di bawah Sek 70, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana mendirikan bangunan tanpa kelulusan MPSJ.

Pemilik juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 46 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan halangan awam.

Pihak Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTD) juga turut mengeluarkan notis di bawah Akta 425, Kanun Tanah Negara bagi kesalahan menceroboh tanah kerajaan (kawasan lapang).

Operasi yang bermula pada jam 9 pagi itu diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan Jabatan Bangunan, Mohd Safee Junun bersama 41 pegawai daripada Jabatan Bangunan, Jabatan Pelesenan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar dan 60 anggota penguatkuasa termasuk Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ.

Turut serta 65 orang anggotaPolis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Polis Risikin Satiman.


Pengarang :