AGENDANASIONAL

MTUC diberi 30 hari beri jawapan balas kepada JPPM

PUTRAJAYA, 21 DIS: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memberi tempoh 30 hari bermula dari tarikh notis dikeluarkan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk memberi jawapan balas mengapa ia tidak patut dibatalkan.

JPPM dalam kenyataan berkata, notis itu dikeluarkan 18 Disember lepas di bawah Seksyen 13 (2) iaitu Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan.

“Pihak JPPM juga dalam masa yang sama telah mengeluarkan Notis 13 (2A) iaitu Perintah Penggantungan ke atas MTUC bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar mana-mana aturan pertubuhannya,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPPM, pihaknya telah menerima aduan pada 2 Julai lepas berkenaan pengurusan pertubuhan MTUC yang tidak diuruskan dengan baik.

“Sehubungan dengan itu, JPPM telah membuka Kertas Siasatan Aduan pada 29 Ogos dan seterusnya menjalankan siasatan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” kata kenyataan itu.

JPPM mengingatkan setiap pertubuhan berdaftar supaya menjalankan aktiviti dan urusan mengikut peruntukan perlembagaan berdaftarnya serta Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“JPPM sebagai sebuah jabatan yang menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) adalah bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pertubuhan yang melanggar Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335),” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :