BUDAYARENCANA

Mungkin zombi tak selapar yang engkau sangka

Oleh Lokman Hakim

Perkara pertama yang harus dilangsaikan sebaik tiba di rumah ialah menghidupkan televisyen. Ada petaka sedang melanda Kuala Lumpur. Kisah cinta yang mengiringi petaka ancaman zombi itu enak ditelusuri saban malam. Nah, usah ditanya adakah aku sudah makan malam. Semua itu sudah aku selesaikan di dalam kesesakan jalan raya tadi. Sudahkah engkau rakamkan kisah cinta dalam petaka zombi itu? Benar, ia bukan refleksi pada kehidupan nyata kita. Sebab itulah aku menyarankan agar engkau tonton sahaja cerita itu agar hidup kau yang kosong itu lebih bermakna.

Zombi sudah menguasai Kuala Lumpur. Hero kita, Ahadiyat, sedang menyorok di dalam sebuah bilik kebal bersama isterinya, Kamelia. Terdapat bekalan senjata api yang banyak. Tetapi aku lebih teruja melihat kapak yang tidak lekang dari tangan Ahadiyat. Cerita itu ganas tetapi dengarnya sambutan ke atas cerita itu amat menggalakkan. Oh, alangkah seronoknya punya tubuh sasa seperti Ahadiyat, lebih-lebih lagi mampu memerangi sebegitu banyak  zombi secara solo. Ah, usahlah memerli keadaan fizikal aku yang kurus ini. Sudah berapa bulan aku bergantung hidup dengan makan roti sahaja untuk makan malam. Lihat itu, rupa paras Kamelia, wah, memang sepatutnya dia menjadi peranan heroin. Dia ada karisma wanita perkasa, bukan macam perempuan di pejabatku yang perengus.

Hero kita sedang memegang kapak dengan elegan. Aku hairanlah kenapa tak ada kesan palitan darah pada bajunya? Bukankah sebentar tadi dia menetak sebegitu banyak zombi? Baiklah, kita lupakan perincian sebegitu. Ada mesej penting yang hendak disampaikan. Sebagai contoh, Ahadiyat tidak pernah cuba memikat wanita lain dalam cerita ini. Hanya Kamelia di hatinya. Bahkan, prioritinya setakat ini adalah menyelamatkan Kamelia. Usah dipertikaikan kenapa dia menetak beberapa orang awam yang mahu minta diselamatkan. Tidakkah mereka itu sudah digigit zombi? Kita tahu, Ahadiyat tiada pilihan. Oh, Ahadiyat, pasti sukar membuat keputusan bukan? Membunuh orang sebegitu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.

Hei, jangan menyampuk bila aku tengok cerita sedap. Duduk di hujung sana. Apa? Belum makan? Bukankah sudah aku beri duit berkepuk untuk kautempah makanan atas talian? Sabarlah sekejap lagi. Babak romantik itu penting. Babak itu penting apabila seharian aku menghadap kerenah bos dan staf yang entah apa-apa, jadi nah, duit untuk kau. Pergilah makan di warung bawah rumah sana. Jangan lupa bungkuskan nasi bujang, ya.

Ahadiyat berjaya menyelamatkan si kecil Dira. Lincah benar gerakannya menyusup di bawah seliratan laser-laser yang rumit seperti jaring labah-labah. Gerakan akrobatik yang setaraf pelakon Hollywood. Sementara itu Kamelia pula telah berjaya menutup akses daripada dilalui segerombolan zombi-zombi yang tidak cerdik itu. Ada yang mati dihempap pintu besi. Teruja melihatnya.

Tapi hero kita dan Dira masih berada dalam keadaan bahaya. Ketua penyelidikan projek haram ini telah menyuntik dirinya sendiri dengan serum yang menukarnya menjadi sejenis raksasa. Tubuh gergasi itu, dibarisi dengan bonjolan-bonjolan persis tanduk yang barangkali terbentuk daripada tulang rusuknya yang bermutasi. Itu telahanku. Bukankah aku sudah kaji di internet mengenai cerita ini? Sangat terperinci. Aplikasi teknologinya boleh dipercayai.

Gila betul, cerita tak tamat-tamat lagi ini. Badan sudah berbau tengik. Aku patut mandi. Alahai, mana pula nasi bujang aku ini? Takkan makan tempat jauh? Mana pulalah kawan ini pergi. Persetankan. Babak pertarungan Ahadiyat dengan raksasa sudah bermula. Dira pula sudah selamat berada dalam jagaan Kamelia. Helikopter penyelamat pula sudah tiba di bumbung fasiliti. Sempurna. Tapi nampak gayanya Ahadiyat lebih selesa menggunakan kapaknya. Raksasa itu pula tidak perlukan senjata. Kuku-kukunya tajam dan besar macam dinasaur pemangsa. Oh, kedua-duanya meluru ke depan. Sebelum pertembungan berlaku, Ahadiyat pantas menyelinap di bawah kangkang raksasa lalu menetak pergelangan kaki kiri. Raksasa meraung dahsyat. Tumbang berdentuman.

Telefon genggam berbunyi. Tapi aku tak hiraukan. Babak penyudah harus diselesaikan. Ahadiyat melonjak tinggi, lalu membaling kapaknya persis membaling bumerang. Dering telefon genggam begitu konsisten pula. Menyampah. Wah, kapak membelah tubuh raksasa kepada dua. Kepalanya terbelah dua. Darah membuak-buak seketika. Ahadiyat mendarat dengan kemas dan penuh bergaya. Telefon genggam masih juga berbunyi.

Aku mengangkat telefon itu dan menjawab panggilan. Kedengaran bunyi siren dan juga suara seorang lelaki yang agak garau. Aku terpinga-pinga, lalu memperlahankan volume televisyen. Babak Dira dan Kamelia menyatu dengan Ahadiyat lalu bergerak ke helikopter pula menyusul. Panggilan telefon itu daripada pegawai polis, tetapi kenapa polis menghubungi aku?

Terbayang rakan serumah yang belum balik lagi. Bunyi siren itu juga begitu dekat. Helikopter sudah melayang pergi dengan dentuman bom nuklear menenggelamkan kota penuh zombi. Aku bergerak ke tingkap yang menghadap warung. Melihat sebegitu ramai orang berkerumun di tepi jalan dan juga polis. Mungkin semua orang itu sudah jadi zombi.

Ketika ini, aku harap yang terbaring di sana hanya Ahadiyat atau Kamelia. Jika boleh biarlah Dira sekali. Zombi-zombi akan membaham mereka. Aku dimaklumkan ada kematian dan nombor telefon aku merupakan nombor terakhir yang dihubungi mangsa. Siapa lagi yang ada menghubungi aku pada waktu terdekat? Tanpa berlengah, aku segera berlari menuruni anak tangga. Nampak nasi terhambur di muka aspal.


Pengarang :