Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman (kanan) bersama anggotanya menjalani sesi latihan pengendalian bot dan enjin bot di Tasik Stadium Tertutup Gong Badak pada 18 Disember 2019 sebagai persediaan bagi berhadapan dengan bencana banjir. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Musim monsun timur laut ragut empat nyawa

PUTRAJAYA, 18 DIS: Musim monsun timur laut yang sedang melanda negara ketika ini telah meragut empat nyawa, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sebanyak 12 kes dalam operasi mencari dan menyelamat telah dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia setakat ini sejak MTL bermula 24 Oktober lepas.

Katanya, kebanyakan kes adalah melibatkan nelayan-nelayan bot kecil yang dipukul ombak kuat hingga menyebabkan bot terbalik dan karam.

“Lebih menyedihkan lagi, kebanyakan nelayan yang terlibat didapati mengabaikan langkah-langkah keselamatan sewaktu berada di laut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati komuniti maritim terutama nelayan bot kecil, pengusaha bot pelancong dan penumpang untuk menitikberatkan aspek keselamatan semasa berada di laut dan peka terhadap perubahan cuaca selain memastikan keadaan bot serta peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik sebelum keluar ke laut.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, musim monsun timur laut telah bermula pada 24 Oktober lepas dan dijangka berterusan sehingga Mac 2020.

Katanya, monsun timur laut bercirikan aliran angin dari arah timur laut secara berterusan dan dijangka negara akan menerima empat hingga enam episod hujan lebat.

“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang dengan kelajuan angin sekitar 40-50 kilometer sejam ini boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak yang kuat sehingga boleh mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter terutama di perairan Laut China Selatan,” katanya.

APMM juga menyarankan komuniti maritim supaya menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau MRCC Putrajaya di talian 03-8941 3140 untuk sebarang penyaluran maklumat kecemasan.

– BERNAMA


Pengarang :