AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tarik semula permohonan cabar lantikan peguam wakili LHDN

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Peguam Datuk D.P. Naban akan terus mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam saman untuk menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini setelah pasukan pembelaan Najib menarik balik permohonan mencabar pelantikan Naban daripada mewakili LHDN.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu media bahawa mereka telah menerima surat pelantikan Naban pada 11 Disember 2019.

“Oleh kerana kami menerima surat pelantikan dan selepas kami meneliti surat berkenaan, kami memutuskan untuk menarik balik permohonan supaya peguam itu menarik diri,” katanya selepas pengurusan kes dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.

Beliau berkata setelah meneliti surat lantikan tersebut, mereka tidak mendapati sebarang konflik kepentingan dalam pelantikan Naban untuk bertindak bagi pihak LHDN.

Muhammad Farhan berkata menurut surat itu, Naban dilantik mengikut Seksyen 24 (3) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 7 Jan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh perbicaraan permohonan penangguhan prosiding yang dipohon Najib dan permohonan LHDN untuk ringkasan penghakiman terhadap Najib.

Pada 8 Ogos lepas, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dikemukakan.

Pada 25 Jun lepas, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas menteri kewangan itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

-BERNAMA


Pengarang :