AGENDANASIONAL

Nilai jualan sektor pembuatan naik kepada RM74.6 bilion

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Nilai jualan sektor pembuatan negara terus mencatat peningkatan pada Oktober 2019 dengan kenaikan 2.2 peratus kepada RM74.6 bilion berbanding RM73.1 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, Jabatan Perangkaan berkata, pertumbuhan tahun ke tahun telah didorong oleh kenaikan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (6.8 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.5 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (2.1 peratus).

“Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Oktober 2019 berjumlah 1,086,908 orang, meningkat 1.0 peratus atau 10,531 orang berbanding 1,076,377 orang pada Oktober 2018.

“Gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM3.99 bilion, naik 2.5 peratus atau RM96.3 juta pada Oktober 2019 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” kata jabatan itu.

Menurut Jabatan Perangkaan, nilai jualan per pekerja meningkat 1.2 peratus kepada RM68,680 berbanding bulan yang sama pada 2018.

Sementara itu, purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,678 pada Oktober 2019.

– BERNAMA


Pengarang :