Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi Kolam Tasik Idaman, Dengkil bagi menangani isu pencemaran bekalan air di LRA Sungai Semenyih pada 23 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pakar air: Tingkat pemantauan, elak pencemaran sungai

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Aspek kesiapsiagaan dalam hal pemantauan oleh pihak berkuasa perlu dipertingkatkan lagi bagi mengelakkan kes pencemaran di kawasan sumber air mentah terus berlaku, yang akhirnya memberi kesan terhadap bekalan air.

Pakar kualiti air, Dr Mohd Yusoff Ishak menegaskan langkah proaktif itu amat penting berikutan beberapa kes pencemaran bau yang menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor baru-baru ini.

“Ini kali ketiga (pencemaran air) yang berlaku menyebabkan ramai yang terjejas,” kata pensyarah kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia itu kepada Bernama.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau lokasi Kolam Tasik Idaman, Dengkil bagi menangani isu pencemaran bekalan air di Sungai Semenyih pada 23 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Pada 21 Disember lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembetungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan penutupan itu, 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

“Untuk tahun ini, sebelum ini di lokasi sama iaitu LRA Sungai Semenyih (terjejas dengan pencemaran) dan di Nilai, Negeri Sembilan apabila disyaki akibat dalang pencemaran daripada kawasan perindustrian Nilai,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata penggunaan teknologi yang lebih canggih adalah amat penting dalam usaha mencegah pencemaran sungai.

“Contohnya, kita perlu menggunakan dron (kamera) dan pemantauan itu mestilah berdasarkan data kerana bagi saya, CCTV (kamera litar tertutup) kurang praktikal.

“Kita perlu menyasarkan beberapa loji sisa kumbahan (untuk dipantau) yang kita rasa berpotensi untuk mencemarkan sumber air,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata Air Selangor yang berperanan menjaga LRA dari segi pengeluaran dan pengagihan bekalan air mempunyai pasukan pakar yang memantau dari segi kualiti air sungai.

“Pasukan pakar akan menyelusuri kawasan sungai, pertama di muka sauk dan kemudian di kawasan lain seperti kawasan hulu bagi memantau dari segi pencemaran serta tidak membiarkan air tercemar sampai masuk dalam loji rawatan.

“Dia (pasukan pakar) akan beri makluman (sekiranya air tercemar) lebih awal. Bermakna kita mampu mengesan lebih awal jika pencemaran bakal berlaku,” katanya.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian meninjau salah satu pembentung di Indah Water Konsortium (IWK) Bukit Mahkota, Semenyih yang terdapat limpahan minyak kehitaman yang mengakibatkan pencemaran bau di Sungai Semenyih pada 22 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Selain itu, Abdul Halem berkata Air Selangor turut mengambil langkah dengan melakukan program bagi mendidik orang awam supaya peka dengan alam sekitar dan sungai.

“Mungkin ramai yang tidak perasan bahawa sungai adalah sumber utama air mentah kita. Kadang-kadang, apabila dia (pihak tidak bertanggungjawab) buang (sampah) ke longkang, tanpa dia sedar apa yang dibuang itu akan sampai ke sungai,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya bercadang melaksanakan kempen serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan lebih kerap untuk memberi makluman kepada orang ramai berhubung kepentingan menjaga sungai.

– BERNAMA


Pengarang :