Tetamu bergambar bersama Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Selangor Anjuran DAP Kinrara di SJKC Sin Ming, Puchong pada 13 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN layan sama rata tanpa diskriminasi

PUCHONG, 14 DIS: Kerajaan Negeri beriltizam untuk terus mengamalkan prinsip layanan sama rata kepada semua kaum tanpa diskriminasi selagi Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal menerajui Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PAKATAN juga mahu memastikan kerajaan bekerja keras untuk memenuhi kehendak rakyat supaya mandat pilihan raya umum lalu dikekalkan.

“PAKATAN akan terus menjaga kebajikan dan kesihatan seluruh masyarakat termasuk wanita, anak kecil mahupun orang tua dan memastikan ekonomi terus baik, kaya dan makmur, sekali gus mengembalikan kekayaan itu kepada rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Selangor Anjuran DAP Kinrara di SJKC Sin Ming, Puchong pada 13 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya percaya hasil sokongan dan pencapaian di Selangor, PAKATAN dapat melaksanakan yang terbaik kerana asas kita adalah (kerajaan) bertanggungjawab serta bersih seperti janji PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Anjuran DAP Kinrara yang dihadiri hampir 1,000 rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Ming di sini malam tadi.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Bendahari DAP Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedang menggerakkan Selangor ke pentas antarabangsa supaya menjadi model kepada negeri lain.

“Saya baru pulang dari Barcelona dan di sana kita membawa program Smart City di peringkat antarabangsa. Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang dijemput ke Persidangan Antarabangsa Smart City selama empat tahun berturut-turut,” katanya.


Pengarang :