EXCOSELANGOR

Pantau ketat loji rawatan elak pencemaran berulang

SHAH ALAM, 26 DIS: Indah Water Konsortium (IWK) perlu membuat pemantauan dan penguatkuasaan ketat di kawasannya bagi mengelakkan insiden pencemaran sungai berulang.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata IWK juga disaran bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah berkenaan.

“Kita tidak salahkan IWK atau sesiapa. Kawasan yang tercemar di Sungai Semenyih itu di bawah IWK dan tiada orang jaga di situ.

“Apa yang penting bagaimana IWK perlu meningkatkan penguatkuasaan dan bekerjasama dengan kita untuk mengelakkan insiden pencemaran daripada berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Sze Han berkata penguatkuasaan berkala oleh IWK akan mengurangkan risiko pembuangan sisa tercemar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita perlu fikir bagaimana untuk mengelak insiden ini bagi mengurangkan risiko individu tidak bertanggungjawab membuang sisa tercemar ke kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan Kerajaan Negeri yang mahu mengambil alih IWK, Sze Han berkata ia tertakluk kepada perbincangan dan keputusan dari Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada 24 Disember lalu, Amirudin berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd bercadang mahu menguruskan sendiri syarikat pembetungan IWK dalam usaha penyelarasan prosedur operasi standard antara dua agensi.

Katanya piawaian kualiti bekalan air yang berbeza antara Air Selangor dan IWK menyebabkan pencemaran bau sukar dikesan awal.

Bagaimanapun, Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Dato’ Dr Xavier Jayakumar berkata, operasi IWk tidak akan diserah kepada Air Selangor seperti yang diminta Kerajaan Negeri.

Malah, Dr Xavier berkata kelemahan aspek penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri antara sebab insiden pencemaran sumber air mentah berulang.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya Sabtu lalu ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang menjejaskan 348 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.


Pengarang :