Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (tengah) menunjukkan surat rayuan supaya tiada penangguhan Sukan Para Asean 2020 ketika sidang media di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik pada 21 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Para ASEAN 2020: Penangguhan sukan tidak adil

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Malaysia akan mencabar keputusan penangguhan temasya Sukan Para ASEAN 2020 susulun kerugian yang terpaksa ditanggung, selain mengambil kira impak negatif terhadap perkembangan prestasi atlet negara.

Ketua Kontinjen Negara (CDM) merangkap presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata seluruh kem paralimpik negara yang melakukan persediaan rapi, kecewa menerima perkhabaran mengejutkan itu.

Beliau berkata MPM sudah menghantar surat protes kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) semalam, dan akan berjumpa dengan Presiden Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) Mejar Jeneral Osoth Bhavillai, untuk menyatakan bantahan secara lisan.

“Kami (MPM) tidak bersetuju dengan penangguhan tarikh ini. Pada masa terdekat pihak MPM dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan ke Bangkok untuk berjumpa presiden APSF. Kami berharap negara lain bersama kami untuk membuat rayuan supaya tarikh itu dikekalkan.

“Atlet kita patut menerima yang lebih baik, selepas segala persiapan dibuat dan mereka kini berada dalam momentum terbaik, sebelum mencapai prestasi puncak. Perbelanjaan juga banyak dibuat bukan sahaja untuk mempersiapkan atlet, malah untuk tempahan di sana.

“Perkara ini tidak adil dan ia tidak sepatutnya dilakukan pihak Jawatankuasa Penganjuran Tempatan (LOC) Filipina,” katanya pada sidang media di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini, hari ini.

Megat D Shariman turut menyuarakan kebimbangan kerana penangguhan itu boleh menjejaskan usaha atlet negara, untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 memandangkan tarikh akhir kelayakan adalah pada April tahun depan.

APSF dalam kenyataan semalam menyatakan kekurangan bajet dan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) menjadi punca, temasya dwitahunan itu ditangguhkan.

Sukan Para Asean ke-10 itu pada asalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Januari 2020, namun atas masalah dihadapi ia dicadang diadakan pada 20 hingga 28 Mac.

Dalam pada itu, Timbalan CDM negara, Halimon Mohd Sood berkata penangguhan itu sememangnya memberi kesan kepada atlet.

“Ia mengganggu seluruh kem paralimpik negara, kerana ada akan berdepan masalah cuti kerana sesetengah atlet yang bekerja telah mendapat pelepasan sehingga Januari. Jika ia kekal ditangguhkan, atlet terpaksa berjauhan dengan keluarga lebih lama,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :