GLOBALNASIONAL

Pas MyCity ditawar kepada pelancong sempena TMM 2020

KUALA LUMPUR, 21: Tourism Malaysia dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd dan MRT Corporation melancarkan Jejak Makanan Warisan KL dan Pas MyCity sebagai antara inisiatif terkini dalam meningkatkan ketibaan pelancong untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, Jejak Makanan Warisan KL menawarkan lawatan yang membolehkan pelancong meneroka Kuala Lumpur secara berjalan dan melihat secara dekat dengan bantuan pemandu pelancongan yang mempunyai pengetahuan luas, berkaitan kawasan berkaitan.

“Di sepanjang jalan, pemandu pelancong akan membawa pelancong ke kawasan warisan dan mercu tanda, antaranya seperti Pasar Seni, Kuil Sri Kandasawmy dan Rumah Limas.

“Manakala Prasarana Malaysia Bhd menawarkan Pas MyCity yang disasarkan bukan kepada penumpang biasa, tetapi kepada pelancong untuk menikmati perjalanan tanpa had menggunakan rangkaian bersepadu kereta api dan Bas Rapid Transit (BRT) milik Prasarana bagi tempoh perjalanan yang singkat,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran program tersebut di sini, semalam.

Promosi pas berkenaan yang bermula 25 Disember 2019 sehingga 31 Disember 2020 itu ditawarkan pada harga RM10 sehari untuk perjalanan tanpa had dan RM25 untuk tiga hari, yang mana pembeli pertama kali perlu membayar tambahan RM5 untuk kos kad dan dengan nilai minimum tersedia RM5.

Musa berkata, dengan pas MyCity ini para pelancong akan mempunyai akses yang lebih baik ke kawasan Lembah Klang dan Selangor, kerana pas tersebut membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan kereta api utama.

Katanya, pas tersebut juga melengkapi pakej Jejak Makanan Warisan KL kerana ia meliputi tiga kawasan utama tarikan pelancongan di Kuala Lumpur iaitu Kampung Baru, Petaling Street dan Brickfields untuk memaparkan warisan dan budaya makanan kita yang terbaik.

“Jejak Makanan Warisan KL dan pas MyCity akan meningkatkan lagi pengalaman pelancongan dan perkhidmatan Malaysia kerana perjalanan menggunakan rangkaian bersepadu kereta api dan BRT akan membantu pelancong sampai ke tempat-tempat menarik, makanan tempatan dan pusat beli-belah dalam cara yang paling mudah.

“Dengan Malaysia menetapkan ketibaan pelancong seramai 30 juta dan perbelanjaan pelancong RM100 bilion untuk TMM 2020, Tourism Malaysia berkerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat bagi menjadikan negara kita satu hab pelancongan yang menarik kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Tambah Musa, dengan menyediakan pengangkutan dengan kadar berpatutan dan menawarkan pakej pelancongan yang unik dan tidak boleh didapati di tempat lain, TMM 2020 akan mencapai kejayaan.

– BERNAMA


Pengarang :