Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin bercakap pada sidang media selepas Perasmian Senario Ampang Dan Santai @Ampang Point di Ampang pada 20 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PBT diwajib selaras kenaikan cukai setiap lima tahun

AMPANG, 20 DIS: Kerajaan mewajibkan semua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara membuat pelarasan kenaikan semua cukai perkhidmatan di bawah bidang kuasa mereka bagi setiap lima tahun bermula tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kutipan cukai dapat dibuat secara lebih seragam selain terdapat beberapa PBT yang tidak melakukan semakan untuk tempoh yang terlalu lama.

Katanya, beliau sudah mengarahkan PBT melakukan pelarasan cukai di bawah bidang kuasa masing-masing walaupun pada kadar rendah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin melawat Tapak Senario Dan Santai @Ampang Point di Ampang pada 20 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Mengikut Akta Kerajaan Tempatan (AKT) 1976, PBT perlu menaikkan kadar kutipan cukai perkhidmatan setiap lima tahun sekali kerana masih ada (PBT) yang tidak melakukan semakan semula sama ada cukai taksiran mahupun cukai pintu.

“(Misalnya) Majlis Perbandaran Ampang Jaya, sudah 22 tahun tidak menaikkan cukai taksiran manakala Majlis Bandaraya Ipoh sejak 36 tahun lalu. Jadi bagaimana mereka mahu berdikari?.

“Bagaimanapun, PBT di Pahang tidak perlu melaksanakan pelarasan memandangkan negeri terbabit sudah melakukan perkara itu tahun ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Senario Ampang Dan Santai@Ampang Point di Tapak Lorong Belakang di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan, Datuk Noor Ihsan Che Mat dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan), Mohammad Ridzwan Abidin.

Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kenaikan pelarasan cukai itu juga tidak dibuat sebelum ini kerana ada ahli politik yang bimbang berdepan risiko kekalahan pada pilihan raya.

“Dia (ahli politik) takut untuk masuk pilihan raya (kesan kepada kenaikan akan memberi masalah). Jadi dia takut dan sebab itu tidak naik (cukai) sampai 30 hingga 40 tahun.

“Kalau kita tidak buat kerja dengan baik, PBT akan susah untuk menguruskan kawasan masing-masing dan jika ia berterusan tidak naik, bagaimana PBT mahu mendapatkan sumber kewangan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :