AGENDANASIONAL

PDRM mohon guna kemudahan hospital ATM

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Kerajaan dimohon supaya memberi peruntukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan pegawai dan anggotanya menggunakan perkhidmatan serta kemudahan di hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau sudah menulis surat kepada ATM berhubung perkongsian kemudahan itu yang dipersetujui mereka, namun ia membabitkan isu peruntukan.

“Saya akan terus berunding dengan kerajaan supaya warga PDRM dapat manfaat daripada perkhidmatan yang baik di hospital ATM untuk dikongsi kepada anak buah saya.

“Pihak ATM menggariskan beberapa halangan tertentu, namun tidak mempunyai masalah untuk memberikan rawatan buat warga PDRM sekiranya mendapat peruntukan daripada kerajaan.

“Sekiranya isu peruntukan dapat diatasi, insya-Allah PDRM akan menerima banyak manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat terakhir daripada Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sempena persaraannya pada awal bulan depan di Bukit Aman di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata untuk menjalankan pengoperasian hospital, ia menelan belanja yang banyak dan ATM menggunakan peruntukan sedia ada untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pegawai dan anggota mereka.

Sementara itu, Zulkifli berkata ATM mempunyai tiga hospital tentera iaitu Hospital Angkatan Tentera Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut di Perak, Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak di Melaka dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, di sini.

“Pihak ATM sedia berkongsi kemudahan yang terdapat di ketiga-tiga hospital berkenaan dengan warga PDRM namun ia memerlukan belanja yang besar.

“Ini kerana kemudahan infrastruktur yang ada di kesemua hospital itu perlu pembaharuan dan dinaik taraf,” katanya.

Pada sidang media sama, Abdul Hamid berkata kerjasama erat PDRM dan ATM terjalin sejak dulu lagi dan ATM juga menawarkan tempat kepada warga PDRM untuk menyambung pengajian di universiti milik mereka.

Katanya ATM sentiasa memberikan PDRM pelbagai kemudahan termasuk membenarkan pegawai-pegawainya melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam bidang-bidang berkaitan.

“PDRM ada menerima tawaran lumayan dari ATM untuk pegawai polis menyambung pelajaran dalam bidang-bidang yang relevan. Dari segi akademik, PDRM banyak beruntung kerana pegawai polis diberi peluang untuk menuntut ilmu di UPNM.

“Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan, kapada Tan Sri Panglima ATM (Zulkifli) yang ikhlas memberi tunjuk ajar dalam Majlis Keselamatan Negara, Majlis Raja-raja dan forum-forum penting dalam soal keselamatan negara,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

-BERNAMA


Pengarang :