Penerima sumbangan Nur Hidayah Ibrahim (kanan) dan Nur Aina Syahirah Abdul rahim (kiri) menunjukkan komputer riba yang diterima selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada golongan B40 di Ibu Pejabat MPSJ, Subang Jaya pada 23 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pelajar terharu `dihadiahkan’ komputer riba oleh MPSJ

SUBANG JAYA, 23 DIS: Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Nur Hidayah Ibrahim sangat bersyukur apabila menerima komputer riba percuma daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Gadis berusia 22 tahun itu berkata, pemberian itu sekali gus meringankan beban emaknya yang juga ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak.

“Sebenarnya, sudah lama saya minta emak belikan komputer baharu kerana pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan memerlukan komputer riba untuk membuat tugasan diberikan pensyarah.

“Tetapi pembelian komputer riba terpaksa ditangguhkan kerana wang tidak mencukupi, tambahan lagi adik saya juga sedang menyambung pengajian pada peringkat diploma,” kata Nur Hidayah kepada SelangorKini.

YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya Noraini Roslan (tengah) menyerahkan komputer riba kepada pelajar ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba Kepada Golongan B40 di Ibu Pejabat MPSJ, Subang Jaya pada 23 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bagaimanapun, Nur Hidayah berkata, dia tidak sangka hari ini MPSJ menghadiahkan komputer riba buatnya.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada pihak MPSJ,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sebagai kakak dia mahu menjadi pelajar cemerlang sekali gus membantu keluarganya.

“Ayah meninggal dunia ketika saya berumur 16 tahun dan sejak itu emak menanggung kami adik-beradik. Jasa emak sentiasa saya ingati,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan, Nur Aina Syahirah Abdul Rahim, 22, pula berkata, dia amat memerlukan komputer riba bagi menyelesaikan tugasan pengajian dalam jurusan Sistem Maklumat Pengkomputeran Perniagaan di UiTM Terengganu.

“Ayah bekerja sebagai pemandu lori dan saya juga tidak mahu menyusahkan ayah kerana dia mempunyai banyak komitmen lain.

“Alhamdulillah berkat kesabaran, akhirnya saya menerima komputer riba secara percuma daripada MPSJ, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya.

Kedua-dua penerima komputer riba itu ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba Tabung Amal MPSJ oleh Yang Dipertuanya, Noraini Roslan bertempat di Ibu Pejabat MPSJdi sini.

Pada majlis itu seramai 13 pelajar daripada komuniti B40 di bawah pentadbiran MPSJ terpilih menerima komputer riba jenama Lenovo fan HP hasil daripada penubuhan Tabung Amal MPSJ.


Pengarang :