Tun Dr Mahathir Mohamad memegang buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut serta, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Eknomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Pelbagai inisiatif baharu demi kesejahteraan rakyat

Oleh Muhammad Saufee Rosman dan Nor Hayati Endan

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Tahun 2019 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang mengambil alih pentadbiran negara sejak Mei 2018 memperkenalkan pelbagai inisiatif dan perancangan yang difokuskan kepada kesejahteraan dan taraf sosioekonomi rakyat.

Paling menjadi tumpuan adalah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober lalu, berperanan sebagai naratif baharu pembangunan dalam menstruktur ekonomi agar semua rakyat menikmati taraf hidup yang wajar menjelang 2030.

Fokus WKB 2030 untuk mewujudkan ekonomi yang boleh mencapai pertumbuhan seimbang dan mampan, selain pengagihan kekayaan yang adil serta sama rata dalam semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah geografi dan rantaian bekalan.

Ia menggariskan tujuh teras strategik iaitu penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara; mengenal pasti dan mempelopori sektor pertumbuhan baharu serta bidang keberhasilan utama baharu melalui pelaburan yang strategik; reformasi bakat dan sumber tenaga negara; memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja; memperkukuhkan kesejahteraan sosial; pembangunan wilayah yang inklusif; dan peningkatan modal sosial masyarakat.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyempurnakan gimik pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Melalui tujuh keutamaan itu, WKB 2030 menjadi penggerak strategik kerajaan dalam merealisasikan matlamat membawa negara ini menjadi negara yang lebih kompetitif dan maju, sekali gus menjamin kehidupan rakyat dengan menyediakan taraf hidup lebih makmur bagi setiap lapisan masyarakat.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan akan mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri dalam usaha merapatkan jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melalui WKB 2030.

Selain WKB2030, terdapat beberapa lagi inisiatif atau dasar baharu diperkenalkan kerajaan PAKATAN oleh pelbagai kementerian dengan menjadikan WKB 2030 sebagai tunjang utama dalam merangka dasar baharu itu.

Antara dasar baharu itu adalah Dasar Pengangkutan Negara, Dasar Kebersihan Negara, Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, Dasar Komuniti Negara dan Dasar Keusahawanan Nasional.

Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 akan memastikan Malaysia kekal menjadi negara mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan.

Dasar Kebersihan Negara bakal menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, mampan dan sejahtera melalui pembudayaan amalan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan masyarakat. Foto BERNAMA

Dasar Kebersihan Negara yang dilancarkan 3 November pula adalah sebagai garis panduan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bersih dalam usaha mencapai taraf negara maju dengan memberi tumpuan kepada kebersihan, kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar.

Dasar itu memfokuskan lima kluster, iaitu kesedaran mengenai kebersihan; kelestarian alam sekitar; ekonomi kitaran; tadbir urus dan penguatkuasaan serta modal insan yang berkualiti dan berkemahiran.

Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara yang dilancarkan pada 27 Februari lalu pula bertujuan melindungi hak asasi pekerja untuk mendapatkan persekitaran pekerjaan yang selamat, sihat dan kondusif.

Matlamat dasar berkenaan ialah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja dalam melindungi majikan dan pekerja Malaysia di samping meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Foto SELANGORKINI

Sementara itu, bagi mewujudkan komuniti yang mempunyai anggota masyarakat berdaya saing dan memiliki satu perasaan kebersatuan bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang, kerajaan turut memperkenalkan Dasar Komuniti Negara.

Ia adalah satu inisiatif untuk memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan cara holistik serta sebagai pelengkap kepada dasar-dasar pembangunan fizikal yang ada sebelum ini.

Dasar Keusahawanan Nasional pula bertujuan meletakkan Malaysia sebagai ‘Negara Keusahawanan’ tulen menjelang 2030.

Objektif Dasar Keusahawanan Nasional itu antara lain mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan.

Ia juga bertujuan meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan serta mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan serta industri kecil dan sederhana.

-BERNAMA


Pengarang :