AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peluang kanak-kanak menangi hadiah di pertandingan basikal tolak

SHAH ALAM, 18 DIS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan anak syarikatnya, Park Here Sdn Bhd (PHSB) bakal menganjurkan pertandingan  basikal tolak  (pushbike) di SACC Mall  di sini pada Sabtu ini.

Dua kategori dipertandingkan bagi lelaki dan perempuan iaitu terbuka berusia empat hingga tujuh tahun manakala campuran (dua hingga lima tahun). Yuran  penyertaan masing-masing RM30 dan acara  itu dimulakan pada jam 10 pagi hingga 7 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, acara itu diadakan kerana aktiviti basikal tolak  semakin menjadi kegilaan kanak-kanak termasuk yang berusia seawal 18 bulan.

“Acara yang diadakan di tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan adalah salah satu teras khidmat sosial PREC bagi memberi pendedahan aktiviti sihat kepada kanak-kanak di sekitar Shah Alam sekali gus mengurangkan masa mereka bersama gajet,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dengan adanya acara  ini, ibu bapa juga berpeluang meluangkan masa bersama anak dengan melakukan aktiviti sihat sekali gus menggilap bakat terpendam seperti kemahiran mengimbangi badan dengan lebih mudah.

Pemenang akan mambawa pulang trofi manakala pelumba basikal tolak  yang berjaya menamatkan perlumbaan akan diberikan pingat ‘finisher’.

Pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah antaranya pushbike Strider Sport, pushbike Bike8, pushbike Hotaru, pushbike XB dan aksesori basikal tolak.

Sementara itu, Pengurus Kanan PHSB, Mohd Ardisham Mohamad Shahir berkata, pihaknya juga akan memberi pelbagai baucar cuci kereta  di aras LG pusat beli-belah  berkenaan.

“Antara baucar menarik adalah  cecair mengilap kereta bernilai RM30 (harga asal RM45), baucar RM10 untuk pembelian servis RM50 dan ke atas serta parking percuma” katanya.

Pertandingan itu turut mendapat kerjasama daripada Push Bike Pro Malaysia dan Ruumi Bass serta disokong oleh Bike8, Hotaru, Tuning Kids, Customhype, Parents and Children Online (PCO) dan XB Pro.

Bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung pendaftaran `SACC Mall Pushbike Fun Race’ orang ramai  boleh menghubungi 011-2476 5190.


Pengarang :