Haniza Mohamed Talha
PENDAPATRENCANA

Peluang niaga wanita makin luas dengan IR4.0

Oleh HANIZA MOHAMED TALHA

AYER KEROH, 6 DIS: Halangan utama kepada kerjaya wanita bukan sahaja terhad kepada diskriminasi gender tetapi peranan wanita sebagai seorang ibu dan pengasuh yang memerlukan dedikasi penuh dan mengambil masa dan tenaga.

Oleh itu, fokus kepada kerjaya terjejas semasa kanak-kanak masih kecil dan membesar. Untuk mencapai sebuah work-life balance yang sempurna, Wanita KEADILAN mengesyorkan supaya majikan-majikan bersedia untuk menawarkan kerja-kerja flexi-hours ataupun kerja dari rumah.

Menurut hasil penyelidikan daripada World Bank, Malaysia pendapatan per kapita dijangka bertambah sebanyak 26.2 peratus sekiranya kesemua halangan terhadap penyertaan wanita dalam pasaran buruh dilupuskan. Statistik terkini memaparkan hanya 52 peratus daripada wanita yang bekerja.

Laporan Indeks Jurang Global Gender ataupun Global Gender Gap Index (GGGI) oleh World Economic Forum (WEF) juga boleh dijadikan ukuran terhadap tahap kejayaan wanita berbanding dengan lelaki di Malaysia.

Namun, negara kita masih di belakang negara-negara di Asia Tenggara kecuali Myanmar, Brunei dan Thailand. Menurut laporan indeks ini, Malaysia menduduki tempat ke-101 antara 144 buah negara yang diselidik dalam pemberdayaan wanita dalam bidang politik.

Sejak kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, bilangan ahli parlimen wanita tidak pernah melebihi 15 peratus.

Cara untuk wanita memperkasakan diri adalah melalui pendidikan dan kemahiran. Dengan ketibaan IR4.0 ataupun Industrial Revolution 4.0, peluang untuk menceburi dalam bidang bisnes melalui internet sangat luas dan tidak terhad kepada sesiapa asalkan pihak itu berminat mempelajari dan menguasai ICT iaitu teknologi, komunikasi dan maklumat.

Klaus Schwab, menerusi bukunya, The Fourth Industrial Revolution menjelaskan IR4.0 mengubah cara kita bekerja dan hidup.

Perubahan ini dipacu tiga domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak IR4.0 yang merangkumi simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri Internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisis data raya dan robot automasi.

Big Data dan Analytics, seperti yang sering disebut-sebutkan oleh para media, ahli-ahli korporat dan sebagainya, sebenarnya adalah berdasarkan maklumat yang dikumpulkan secara sistematik.

Namun, penjelasan yang paling mudah difahami adalah `Data is everything’ di mana data yang dikumpulkan akan dianalisa untuk sasaran pemasaran dan penyampaian maklumat yang lebih efektif dan tersusun.

Perkembangan yang pesat di dunia dalam bidang teknologi ini akan membawa perubahan-perubahan dalam kehidupan seharian kita seperti migrasi daripada mata wang fizikal kepada penggunaan e-dompet, perisian pengenalan wajah, robotiks. automasi, dan lain-lain.

Kesan ataupun impak IR4.0 juga akan membawa perubahan dari segi keperluan tenaga manusia. Oleh itu, kita perlu mengorak langkah untuk menambah ilmu dengan mengambil kursus-kursus yang berkaitan dengan IR4.0.

Haniza Mohamed Talha pada Kongres Nasional Tahunan Wanita KEADILAN 2019 bertema Kepimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Belanjawan 2020 telah memperuntukkan geran padanan sebanyak RM20 juta khusus untuk tujuan upskill ini.

Salah satu daripada industri pemboleh utama dalam IR4.0 merupakan Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) di mana hampir 38 peratus daripada jumlah eksport Malaysia adalah daripada sektor pembuatan.

Para graduan wanita terutamanya dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) mesti mengambil peluang keemasan ini untuk menjana idea-idea baru ataupun mencipta sesuatu yang dapat digunakan oleh semua orang di masa akan datang seperti frasa Inggeris yang berbunyi: “Make a name for yourself. You can do it”

Dalam pada ini, Wanita KEADILAN baru-baru ini melancarkan sebuah program perintis di Malaysia bermula di Lembah Jaya dalam bentuk sebuah aplikasi layar Android ataupun Apps Android untuk mengukuhkan lagi ekonomi wanita yang ingin membuat bisnes nasi lemak. Seterusnya, Apps ini akan dilancarkan di negeri-negeri lain kelak.

Seramai 112 orang pemohon melalui skim berniaga mikro nasi lemak di Lembah Jaya telah dilengkapkan dengan modal dan peralatan berniaga untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Aplikasi layar ini akan membantu peniaga-peniaga kecil mencari peluang untuk menerima tempahan dan membekal nasi lemak kepada majlis-majlis ataupun program-program yang memerlukan makanan.

 

Sedutan teks ucapan dasar Ketua Wanita KEADILAN pada Kongres Nasional Tahunan Wanita KEADILAN 2019 bertema Kepimpinan Wanita: Kepimpinan Untuk Semua di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka


Pengarang :