Kelihatan banyak kerusi kosong pada sesi petang Perbahasan Ucapan Dasar Presiden KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, 7 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemimpin enggan hadir, perwakilan keluar kongres

AYER KEROH, 7 DIS: Suasana sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden KEADILAN pada sebelah petang bertukar menjadi medan provokasi dan menyerang peribadi hingga menyebabkan sebahagian besar perwakilan serta pemerhati bertindak meninggalkan dewan Kongres Nasional Tahunan parti tersebut.

Tindakan itu turut menyaksikan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan tertinggi KEADILAN tidak tampil pada sesi berkenaan kerana menyifatkan ia memungkiri janji terhadap perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Berikutan insiden-insiden yang amat dikesali ini, maka kami Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat membuat keputusan adalah tidak munasabah bagi kami terus berada di dalam dewan kongres untuk mendengar kenyataan-kenyataan yang provokatif dan melanggar semangat persaudaraan KEADILAN yang sewajarnya ditonjolkan dalam Kongres Nasional Tahunan seperti ini,” kata Mohamed Azmin.

Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh pada 7 Disember 2019 agak sepi apabila ramai perwakilan tidak hadir. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan dalam sidang media yang berlangsung di Hotel AMES, di sini, hari ini.

Beberapa pembahas turut menyebut nama Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu ketika membahaskan ucapan dasar.

Dalam kenyataan sama Mohamed Azmin menyuarakan bahawa penganugerahan pada pagi tadi juga dilihat provokatif dan menafikan sumbangan besar pejuang-pejuang KEADILAN di peringkat akar umbi yang telah memerah keringat serta berkorban demi membangunkan parti keramat itu.


Pengarang :