AGENDAJENAYAH

Pemuda disiasat kes dakwaan dicabul Anwar

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Polis akan memanggil Muhammad Yusoff Rawther esok susulan dakwaan dirinya dicabul Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (ACP) Mior Faridalathrash Wahid berkata, Muhammad Yusoff dipanggil untuk memberi keterangan susulan laporannya semalam serta akuan bersumpah (SD) yang mendakwa dia dicabul oleh bekas majikannya itu.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan mengambil keterangan Muhammad Yusoff pada 1 tengah hari esok…peguamnya sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, ” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, media melaporkan Muhammad Yusoff yang juga bekas pegawai penyelidik kepada Anwar hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap Anwar.

Laporan itu menyebut, Muhammad Yusoff bimbang dengan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.

Rabu lepas, Muhammad Yusoff membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Presiden KEADILAN 2 Oktober tahun lepas, bagaimanapun, perkara itu dinafikan Anwar yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada tarikh itu.

– BERNAMA


Pengarang :