AGENSISELANGOR

Pemulihan bekalan air cecah 56.9 peratus

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Pemulihan bekalan air di kawasan Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Putrajaya yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih, mencecah 56.9 peratus setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata pemulihan bekalan air kepada pelanggan akan berlaku secara berperingkat bergantung kepada kedudukan geografi dan altitud premis pelanggan.

“Kawasan yang berhampiran dengan sistem agihan dijangka menerima bekalan lebih awal dan begitu juga sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bantuan ke kawasan terjejas masih dipergiat dengan Air Selangor menggerakkan sebanyak 72 lori tangki air, 21 lori tangki jumbo, mengaktifkan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam selain menambah 46 tangki statik.

Sementara itu, Abdul Halem berkata Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi juga telah mula beroperasi semula pada jam 9 pagi tadi dan kerja-kerja pengepaman dan penstabilan sistem agihan sedang giat dijalankan.

Pada Sabtu lepas, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembetungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan penutupan itu, sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

-BERNAMA


Pengarang :