AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pemulihan bekalan air cecah 79.5 peratus

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Pemulihan bekalan air di kawasan Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih mencecah 79.5 peratus, setakat jam 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata berdasarkan kepada bacaan semasa, pihaknya menjangkakan tempoh pemulihan sepenuhnya mungkin dapat dilakukan lebih awal dari jangkaan.

“Air Selangor mengambil segala inisiatif bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurutnya, tambahan bantuan ke kawasan terjejas juga dipertingkatkan kepada 73 lori tangki dan 20 lori tangki jumbo, meneruskan pengaktifan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam selain 50 tangki statik.

Pada Sabtu lepas, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan penutupan itu 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

-BERNAMA


Pengarang :