AGENDANASIONAL

Pendapatan suku ketiga KWSP RM13.50 bilion

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM13.50 bilion untuk suku ketiga berakhir 30 September 2019 berikutan ketidaktentuan pasaran sejak 2018.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, portfolio ekuiti domestik KWSP menerima kesan akibat pertumbuhan pendapatan yang lemah dalam pasaran ekuiti domestik, sekali gus menyaksikan pasaran saham Malaysia menurun 5.3 peratus.

Bagi suku ketiga 2019, portfolio tersebut merekodkan pendapatan RM2.57 bilion.

“Keadaan pasaran lemah, ketidakpastian akibat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, prospek perjanjian Brexit yang tidak menentu, pergolakan politik di Hong Kong dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah menyumbang kepada ketidaktentuan ini.

“Pasaran baru muncul terus menerima tempias daripada perang perdagangan AS-China yang masih berlanjutan. Pasaran negara-negara di rantau Asia kekal tidak menentu dengan pasaran saham Hong Kong adalah yang paling lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KWSP terpaksa menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, termasuk kelembapan prestasi KLCI.

“Bagaimanapun, kepelbagaian portfolio KWSP yang merangkumi pendapatan pelaburan daripada aset luar negara, membantu mengurangkan impak ini,“ kata Mohamad Nasir.

Beliau berkata, kemerosotan perdagangan bukan sahaja telah menjejaskan pasaran ekuiti, malah menyumbang kepada kelembapan ekonomi global, dengan negara-negara yang bergantung kepada eksport di rantau ini seperti Malaysia, Singapura dan Thailand menerima impak paling ketara.

“Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada kemerosotan keyakinan pengguna dengan Malaysia mencatatkan paras terendah sejak suku keempat 2017 berikutan kuasa membeli yang lebih rendah dan sektor pekerjaan yang diramal semakin lemah,” katanya.

Beliau berkata, KWSP akan mengambil langkah berwaspada ke atas prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia berikutan peningkatan risiko geopolitik dijangka akan terus memberi tekanan ke atas ekonomi global.

“Sekiranya ketegangan perdagangan AS-China berlanjutan, ia akan terus memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara seperti kita yang bergantung kepada perdagangan,” katanya.

Beliau berkata, 2019 merupakan tahun yang sukar dan ketidaktentuan pasaran akan berterusan dalam masa terdekat dan akan memberi impak ke atas pasaran modal.

“Ketidakpastian ini telah mempengaruhi prestasi KWSP dan kami akan mengambil pendekatan waspada dan berhemah ke atas prospek pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Nasir memberi jaminan bahawa KWSP akan terus mengambil manfaat ke atas peluang pembelian baik yang lazimnya berlaku semasa pasaran sedang merosot.

“Keadaan tidak menentu ini juga memberi peluang kepada KWSP kerana kami sentiasa mengesan aset kukuh serta memberikan aliran tunai yang baik dan dapat menambah nilai jangka panjang portfolio kami.

“Sebagai dana jangka panjang, matlamat kami adalah untuk mencapai prestasi jangka panjang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :