ADN Sementa Dr Daroyah Alwi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penduduk DUN Sementa diseru segera daftar skim air percuma

KAPAR, 25 DIS: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa yang belum mendaftar untuk mendapat air percuma di bawah Skim Air Darul Ehsan diminta berbuat demikian sebelum tarikh tutup pada 31 Disember ini.

Ahli Dewan Negerinya, Dr Daroyah Alwi berkata, kesempatan itu harus direbut supaya mereka yang layak dapat menikmati 20 meter padu air percuma bermula Mac tahun depan.

“Saya menyeru seluruh penduduk Selangor, khususnya DUN Sementa untuk mendaftar di bawah Skim Air Darul Ehsan kerana ia hanya berbaki beberapa hari lagi sebelum ditutup.

“Selepas ini Kerajaan Negeri hanya akan memberi air percuma kepada golongan sasar. Sebelum itu, golongan sasar yang layak mendapat air percuma perlu mendaftar di bawah Skim Air Darul Ehsan,” katanya ketika ditemui pada program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa di Pusat Pakaian Hari-Hari di sini, hari ini.

Air Selangor membuat hebahan terakhir untuk menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma.

Daroyah berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN terbabit sentiasa membuat hebahan dan promosi meluas mengenai skim itu.

Katanya, setakat ini borang permohonan yang disediakan di pejabat PKM mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk.

“Dalam setiap program yang melibatkan kehadiran ramai, kita turut membuka kaunter untuk memudahkan golongan berpendapatan rendah (B40) membuat pendaftaran skim ini.

“Pegawai dari pejabat PKM Sementa turut membantu orang ramai mengisi borang permohonan,” katanya.

Semalam, SelangorKini melaporkan hanya 83,382 permohonan Skim Air Darul Ehsan diterima Air Selangor setakat 15 Disember lalu.

Daripada jumlah itu, hanya 46,941 pemohon mempunyai maklumat lengkap manakala 27,415 permohonan lagi tidak boleh diproses kerana maklumat tidak lengkap, manakala baki 9,026 pemohon pula sedang diproses untuk dikemas kini.

Skim Air Darul Ehsan adalah program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Selangor dan layak dinikmati antaranya kepada pemohon atau pasangan yang menetap di Selangor dengan pendapatan bulanan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.


Pengarang :