AGENDANASIONAL

Penduduk Kelantan dinasihat siap sedia hadapi gelombang kedua

KOTA BHARU, 9 DIS: Penduduk negeri Kelantan yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 25 dan 26 Disember ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata walaupun gelombang pertama banjir sudah berakhir dan pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini, namun masyarakat perlu terus berwaspada kerana musim tengkujuh belum berakhir.

“Kita mahu menasihatkan orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil, warga emas serta ibu mengandung di rumah supaya sentiasa bersiap sedia kerana kita tidak mahu sekiranya ada yang diarahkan berpindah, masih enggan berbuat demikian sehingga mendatangkan kesukaran dalam operasi menyelamat.

“Sikap sedemikian perlu diubah kerana selain menyusahkan diri sendiri, pasukan penyelamat juga menghadapi kesukaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Persaraan Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata sepanjang gelombang pertama banir yang melanda Kelantan minggu lepas, pihaknya mendapati masih ramai penduduk yang enggan berpindah walaupun kawasan rumah telah dinaiki air lebih satu meter.

Beliau berkata antara alasan yang dikemukakan untuk tidak berpindah adalah untuk menjaga harta benda dan sudah biasa dengan banjir namuan ia hanya mengundang risiko jika mereka ditimpa masalah selepas itu.

“Pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) adakalanya terpaksa menggunakan kaedah memujuk bagi menasihatkan mangsa banjir supaya berpindah,” katanya.

Sementara itu Hasanuddin berkata agensi penyelamat termasuk polis dan lain-lain agensi berkaitan sudah melakukan persiapan untuk menghadapi segala kemungkinan.

-BERNAMA


Pengarang :