AGENSISELANGOR

Pengeluar zakat perniagaan di Selangor meningkat 27 peratus

SHAH ALAM, 18 DIS: Jumlah pengeluar zakat perniagaan di Selangor meningkat 27 peratus bagi tempoh Januari sehingga November lepas berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop.

Beliau berkata peningkatan tersebut menunjukkan perkembangan yang amat baik hasil kepercayaan syarikat di negeri ini terhadap LZS.

“Bagaimanapun, kami masih mengharapkan lebih banyak syarikat tampil sehingga hujung tahun ini untuk mengeluarkan zakat kepada LZS demi membangunkan asnaf di Selangor.

“Saya percaya dengan pelbagai usaha LZS menyebarluaskan program-program pembangunan asnaf, ia akan menarik minat lebih banyak syarikat untuk mengeluarkan zakat,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM6.2 juta daripada 41 syarikat di sini, hari ini.

Antara syarikat yang menyerahkan zakat pada majlis berkenaan ialah Cyberview Sdn Bhd (RM951,200), Radicare (M) Sdn Bhd (RM676,485) dan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn Bhd (RM500,000).

Saipolyazan juga memaklumkan LZS sedang merangka satu pelan tindakan pembangunan asnaf LZS bertemakan ‘Memperkasa Keupayaan, Memacu Kecemerlangan’ untuk dilaksanakan tahun depan.

Katanya, pelan tindakan itu akan menggariskan lapan teras, antaranya mentransformasikan asnaf fakir serta miskin sehingga berjaya diklasifikasikan sebagai ‘muzakki’ atau pengeluar zakat harta seterusnya keluar daripada senarai asnaf.

“Kita juga mahu melahirkan asnaf mualaf yang berjaya mencapai penarafan mukallaf atau yakin dengan pegangan mereka serta melahirkan asnaf fakir, miskin yang mempunyai kualiti keagamaan yang baik,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama, LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM196,154 kepada tiga penerima bantuan perubatan dan dua penerima bantuan pendidikan.

Antara penerima itu adalah Zalida Syuhada Ahmad Taman yang menerima bantuan perubatan berjumlah RM80,000 bagi membiayai kos pembedahan plastik anaknya yang terlibat dalam kebakaran.

Penerima lain ialah seorang asnaf mualaf, Nurshafiqah Abdullah yang menerima bantuan RM46,854 bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Muamalat di sebuah institusi pengajian tinggi di sini.

-BERNAMA


Pengarang :