AGENDANASIONAL

Pengguna berdekatan LRA Sungai Semenyih terima bekalan air tengah malam ini

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Pengguna yang berada di kawasan berdekatan dengan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih akan menerima bekalan air mulai tengah malam ini secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan bekalan air dijangka kembali pulih sepenuhnya di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang serta sebahagian kawasan Putrajaya dalam tempoh anggaran 72 jam.

Kenyataan itu menyebut, pada masa ini, LRA tersebut dalam proses meningkatkan paras kolam-kolam imbangan dan penyaluran ke sistem agihan dan kolam-kolam perkhidmatan di kawasan terjejas.

“Berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual ini berskala besar, tempoh pemulihan bekalan air akan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut LRA Bukit Tampoi masih belum beroperasi semula kerana paras pencemaran bau masih dikesan di muka sauk, dan bantuan kecemasan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas.

“11 buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih meneruskan operasinya selama 24 jam termasuk penambahan empat lagi lokasi pili awam yang menjadikan keseluruhannya 18 lokasi pili awam,” katanya dan menurut kenyataan itu, bekalan air melalui botol air minum berkapasiti lima liter turut giat diedarkan kepada pengguna terlibat.

-BERNAMA


Pengarang :