Hee Loy Sian bersama Dato’ Haris Kasim (empat dari kiri depan) bergambar bersama penerima penghargaan sempena Kempen Kepenggunaan dan Hari Terbuka Perlesenan Peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam 2019 di Wisma MBSA, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Penguatkuasaan larangan straw plastik dilaksana berperingkat

SHAH ALAM, 19 DIS: Penguatkuasaan penggunaan plastik sekali guna seperti beg dan penyedut minuman akan dilaksana secara berperingkat di Selangor bermula tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi, Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata pada masa ini terdapat sesetengah pengusaha restoran yang masih memberi penyedut minuman plastik secara automatik.

“Tarikh permulaan penguatkuasaan hanya akan diumumkan pada waktu sesuai, namun antara tindakan yang akan diambil adalah tidak memperbaharui lesen perniagaan peniaga terbabit,” katanya pada Kempen Kepenggunaan dan Hari Terbuka Pelesenan Peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam 2019, di sini.

Loy Sian berkata Kerajaan Negeri juga menggalakkan pengusaha kedai makanan menggunakan penyedut minuman kertas yang lebih mesra alam berbanding penyedut minuman plastik.

Berhubung isu penggunaan beg plastik pula, Ahli Dewan Negeri Kajang itu berkata kutipan caj 20 sen akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula tahun hadapan.

“Langkah itu kerana terdapat peniaga yang mengutip caj terbabit gagal menjalankan program tanggungjawab sosial (CSR) seperti yang sepatutnya.

“Justeru, caj yang dikutip akan disalurkan kepada PBT untuk dimasukkan ke dalam akaun amanah dan menjalankan CSR kepada komuniti setempat khasnya membabitkan kesedaran alam sekitar,” katanya.

Program yang dihadiri kira-kira 100 peniaga itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna berhubung kepentingan pengurangan penggunaan beg dan penyedut minuman plastik, polistirena serta menggalakkan penggunaan plastik mudah terurai.


Pengarang :