Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah membuat tinjauan pada kempen Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 di Pasaraya Giant Hypermarket Batu Caves pada 23 Disember 2019.
AGENSISELANGOR

Peniaga gagal patuh kawalan harga Krismas berdepan tindakan tegas

GOMBAK, 23 DIS: Peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 bakal berdepan tindakan tegas termasuk penalti sehingga RM500,000.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Bagi individu, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasaraya Giant Hypermarket, Batu Caves di sini, hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga kawalan pula, pesalah boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun RM5,000 bagi individu.

Sementara bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

“Peniaga diingatkan meletakkan tanda harga warna merah jambu pada barangan harga kawalan kerana KPDNHEP mempergiatkan pemantauan harga dengan mengadakan kerjasama pelbagai pihak lain seperti Pegawai Pemantau Harga, ‘Friends Of KPDNHEP’ yang merupakan mata dan telinga kementerian, Kerajaan Negeri, agensi kerajaan lain, penghulu dan penggawa,” katanya.


Pengarang :