AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penutupan loji air Semenyih: 37 premis kilang diperiksa

PUTRAJAYA, 24 DIS: Sebanyak 37 premis kilang di Selangor telah diperiksa dalam Ops Bau bagi menyiasat punca pencemaran sehingga menyebabkan penutupan loji rawatan air Semenyih, dan sembilan notis serta 17 tawaran kompaun telah dikeluarkan ke atas premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa dalam operasi yang bermula semalam sehingga hari ini, sebanyak 28 premis telah didapati mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“Berdasarkan rekod JAS, terdapat 46 premis kilang di Nilai, Negeri Sembilan dan 379 premis kilang di Hulu Langat, Selangor yang menjadi fokus operasi bersepadu kali ini. Pemeriksaan oleh JAS ke atas keseluruhan punca premis yang berpotensi dijangka mengambil masa sehingga seminggu dari tarikh operasi bersepadu dijalankan,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut JAS, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan ke atas kilang-kilang di kawasan Hulu Langat serta Nilai, dan menjelaskan tindakan tegas akan diambil ke atas pelanggaran mana-mana peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling itu.

Sebanyak 18 pasukan penyiasat JAS melibatkan pasukan dari ibu pejabat Putrajaya, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor telah digerakkan ke kawasan Nilai, Negeri Sembilan dan Hulu Langat, Selangor bagi mengesan punca pencemaran yang menyebabkan penutupan loji rawatan air Semenyih itu.

JAS menjelaskan bahawa siasatan menjurus kepada premis-premis yang menghasilkan buangan pelarut dan minyak yang merupakan bahan pencemar yang telah dikenal pasti menyebabkan penutupan loji air berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :