Ketua Unit Perkhidmatan Pekerjaan, Aizad Muhammad Awaluddin menyerahkan sumbangan kepada pekerja yang mendapat SIP PERKESO, di Wisma PERKESO Selangor, 10 Disember lalu. – Foto PERKESO
AGENSISELANGOR

PERKESO komited lindungi pencarum hilang kerja

SHAH ALAM, 20 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) komited melindungi pencarum yang hilang pekerjaan.

Timbalan Pengarah PERKESO Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan berkata, ia membabitkan kes penutupan syarikat mahupun pekerja yang berhenti secara sukarela (VSS) dan pemberhentian secara wajib (MSS).

Katanya, faedah SIP turut diberikan kepada orang berinsurans (OB) yang mengemukakan notis keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 (Akta 4) dan kehilangan pekerjaan disebabkan masalah kesihatan mulai 1 Januari 2020.

“Sejak Akta SIP 2017 diperkenalkan, sebanyak 35,564 permohonan diterima Interim SIP untuk 2018 dengan hanya 7,810 permohonan diproses di PERKESO Selangor sebelum pelaksanaan penuh faedah SIP.

“Daripada bilangan permohonan itu, hanya 6,407 kes diluluskan dengan jumlah bayaran sebanyak RM3.84 juta,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tahun ini, Mohammad Ramli berkata, sebanyak 23,251 diproses daripada 57, 593 permohonan faedah SIP.

Bagaimanapun katanya, hanya 20,107 permohonan diluluskan membabitkan Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Pendapatan Berkurangan serta Latihan.

“Jumlah bayaran faedah SIP sehingga hari ini di PERKESO Selangor adalah RM18.21 juta daripada RM92.66 juta bagi seluruh Malaysia,” katanya.


Pengarang :