AGENDANASIONAL

Pertubuhan Ikatan gesa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikaji semula

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dikaji semula tahun hadapan bagi mengenakan hukuman setimpal terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar, kata pengerusi pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kerajaan dan pihak berkuasa perlu meningkatkan aspek keselamatan, terutama berkaitan alam sekitar bagi menghalang sebarang insiden pencemaran berulang kerana ia akan menjejaskan kehidupan ramai penduduk negara.

“Kerajaan perlu mengkaji semula Akta berkenaan kerana ia pelu melihat kepada sebarang kelemahan atau kekurangan di mana-mana bahagian akta itu yang perlu diperbetulkan.

“Kita perlu mengukuhkan akta itu supaya ia dapat menjadi penghalang kepada sesiapa juga daripada melakukan perbuatan mencemar alam sekitar, atau membuang sisa toksik secara haram ke dalam sungai dan tepi jalan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada beberapa kejadian pencemaran sungai dalam negara, seperti insiden pencemaran sungai Kim Kim di Johor, serta pencemaran Sungai Semenyih di Selangor, yang menggemparkan negara baru-baru ini.

Lim berkata kes-kes ini perlu dilihat dengan lebih serius, manakala mereka yang bertanggungjawab perlu dihadapkan ke muka pengadilan, dan siasatan perlu dijalankan dengan menyeluruh bagi memastikan pesalahnya menerima hukuman setimpal.

“Saya rasa ini perlu dilakukan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai bekalan air bersih, tiada gangguan bekalan air, dan kes-kes berkaitan dengan pencemaran ditangani dengan tegas.

“… kita tidak boleh membenarkan masalah ini berterusan dari semasa ke semasa, sehingga mengakibatkan sering berlaku kejadian gangguan bekalan air dan sebagainya,” tambahnya.

Pada 2 Mei lepas Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dilaporkan sedang dalam proses mewujudkan undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, khususnya berkaitan hukuman kepada pesalah mengenai pencemaran alam sekitar.

-BERNAMA


Pengarang :