AGENDA NASIONAL

Perubahan prosedur ganti pekerja asing mulai 18 Disember

PUTRAJAYA, 12 DIS: Kementerian Sumber Manusia (MOHR) telah membuat perubahan dalam ketetapan prosedur pengeluaran Surat Perakuan di Jabatan Tenaga Kerja berikutan aduan pihak majikan berkaitan proses penggantian pekerja asing (PGPA) di negara ini.

Katanya, perubahan ketetapan baharu dalam permohonan PGPA ini akan berkuat kuasa Rabu depan.

Kementerian itu berkata, surat perakuan daripada Jabatan Tenaga Kerja akan dikeluarkan berlandaskan hanya kepada penentuan kewujudan dan kesahihan premis majikan yang memohon PGPA dan tidak akan melibatkan proses siasatan perburuhan.

“Surat Perakuan akan dikeluarkan dalam tempoh 48 jam berbanding dengan 14 hari atau lebih selepas daripada tarikh permohonan tertakluk kepada pengesahan kewujudan premis perniagaan majikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

MOHR berkata, pihak Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan pemeriksaan susulan, satu bulan selepas surat perakuan dikeluarkan kepada majikan bagi menyemak tahap pematuhan undang-undang perburuhan.

“Sekiranya mana-mana majikan didapati melanggar peruntukan undang-undang perburuhan, maka tindakan akan diambil ke atas majikan tersebut,” katanya.

Katanya, perubahan itu hanya melibatkan prosedur di peringkat Jabatan Tenaga Kerja sahaja, oleh itu prosedur lain di Jabatan Imigresen Malaysia dan Pusat Sehenti, Kementerian Dalam Negeri masih kekal.

Hebahan mengenai ketetapan baharu prosedur PGPA di peringkat Jabatan Tenaga Kerja akan turut dipaparkan dalam laman sesawang jtksm.mohr.gov.my atau www.eppax.gov.my.

– BERNAMA


Pengarang :