AGENDAPENDIDIKAN

Peruntukan RM40 juta untuk KUTAR diberi selepas tabung amanah ditubuhkan

SHAH ALAM, 4 DIS: Kementerian Kewangan akan memperuntukkan RM40 juta kepada tabung amanah yang dikendalikan Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA) apabila ditubuhkan dan dijangka diluluskan penghujung Disember ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan sebelum ini menjanjikan peruntukan sekurang-kurangnya RM30 juta setiap tahun untuk tabung amanah yang dicadangkan bermula 2019 bagi manfaat Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) dan pelajar institusi tersebut.

“Peruntukan RM40 juta ini akan menjawab secara muktamad pembohongan yang dilontarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bahawa peruntukan tersebut tidak sah daripada segi undang-undang.

“Namun, mereka tidak menjelaskan bagaimana memperuntukkan RM40 juta untuk manfaat pelajar KUTAR tidak sah daripada segi undang-undang, tetapi puluhan bilion ringgit yang dicuri daripada 1MDB pula tidak melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemegang amanah dicadangkan akan mempunyai seorang wakil dalam kalangan pelajar KUTAR, Kementerian Kewangan dan TAA sendiri terdiri daripada bekas pelajar KUTAR.

“TAA berpegang bahawa KUTAR harus dijalankan sebagai institusi pendidikan secara profesional, secara bebas dan terpisah daripada parti politik dan ahli politik.

“TAA harus diberikan peluang sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab dan membuktikan cara mereka dapat memenuhi bidang tugas untuk menggunakan dana bagi manfaat KUTAR dan kebajikan para pelajar,” katanya.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan meminta parti MCA melepaskan hak pegangan dalam KUTAR serta Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Katanya, kerajaan juga bersedia menyerahkan semula peruntukan keseluruhan berjumlah RM60 juta bagi tempoh tahun ini dan tahun 2020 kepada kedua-dua institusi pendidikan swasta itu sekiranya MCA melepaskan kepentingan mereka.


Pengarang :