Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan beg sekolah sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Peserta PTRS dapat makanan tengah hari percuma

BATU CAVES, 15 DIS: Prihatin dengan kebajikan pelajar yang bakal menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menjelang 2020, Kerajaan Negeri akan menyediakan makanan tengah hari secara percuma buat mereka, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, pendekatan itu dilaksana kerana beliau tidak mahu anak-anak yang berada di sekolah sehingga lewat petang, tidak mendapat khasiat makanan secukupnya.

Katanya, pemberian itu sekali gus dijangka mampu mengurangkan kos tambahan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Sebelum ini ketika PTRS dijalankan, ada ibu bapa dari keluarga kurang berkemampuan memaklumkan mereka terpaksa menambah kos makan tengah hari sekiranya anak-anak berada di sekolah sehingga lewat petang.

“Maka menjelang tahun depan, mereka tidak perlu risau lagi akan perkara itu dan anak-anak juga akan belajar dengan lebih tenang serta selesa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di sini, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada program itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan itu menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada 100 pelajar India.

Terdahulu, menerusi Belanjawan #Selangor 2020, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM10 juta diperuntukkan buat PTRS melalui pendanaan khusus Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor.

Pada 13 November lalu, Amirudin turut memaklumkan PTRS akan membantu pelajar sekolah yang tercicir dalam akademik kerana terpaksa bekerja.

Menurut rekod, 183 pelajar sekolah menengah tidak meneruskan pengajian kerana perkara berkaitan.

“PTRS boleh dilaksana pada waktu fleksibel tertakluk kepada masa ditetapkan sekolah masing-masing.

“Di samping itu, program ini juga dilaksana kepada pelajar berasal daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.


Pengarang :