AGENDAJENAYAH

PGA gagalkan enam siri penyeludupan daun ketum di sempadan

PADANG BESAR, 8 DIS: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas lebih dua tan daun ketum dipercayai untuk diseludup ke Thailand dalam enam siri rampasan berasingan Op Wawasan Kedah/Perlis bermula 5 Disember hingga semalam.

Komander Briged Utara PGA SAC Abdul Ghani Mohamad Ji berkata rampasan pertama kira-kira jam 1.30 pagi Khamis lepas itu dibuat di kawasan ladang getah berhampiran Felda Mata Ayer yang menjumpai 14 guni berisi daun ketum seberat 510 kilogram (kg) bernilai RM76,500.

Rampasan kedua pada hari sama dilakukan di kawasan kebun getah Felcra Lubuk Sireh di sini melibatkan 17 guni seberat 510 kg bernilai RM76,500 kira-kira jam 9.30 pagi.

PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun dan merampas sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang digunakan untuk mem​bawa keluar daun ketum ke negara jiran.​​​​​​

Dalam rampasan ketiga, anggota PGA merampas 42 plastik berwarna hitam berisi daun ketum seberat 700 kg bernilai RM105,000 pada hari sama rampasan pertama dan kedua dipatahkan.

Rampasan itu dilakukan di kawasan hutan jati, Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit dekat sini kira-kira jam 6.30 petang dan terus dibawa ke Balai Polis Padang Besar setelah hampir sejam menunggu berikutan tiada individu tampil untuk menuntut barang tersebut.

Pada Jumaat lepas, PGA merampas sebuah guni seberat 28 kg bernilai RM4,200 dan sebuah motosikal Yamaha Nouvo bernombor pendaftaran Thailand kira-kira jam 11.09 malam di kawasan letak kereta di Arked Niaga Padang Besar.

“Ketika pasukan polis menghampiri kawasan sekumpulan lelaki itu dan memperkenalkan diri, mereka kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggalkan daun ketum di situ,” kata Abdul Ghani dalam kenyataan, hari ini.

Kira-kira jam 10.35 malam hari yang sama, pasukan PGA ternampak empat lelaki tidak diketahui warganegara cuba menceroboh kawasan laluan KTJ PB 14 berhampiran tiang TNB 965 di kawasan pagar sempadan Perlis-Thailand.

Menyedari kehadiran polis, kesemua mereka bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran namun pihak berkuasa berjaya memberkas seorang warga tempatan berumur 42 tahun bersembunyi dan baring di dalam kawasan semak.

Siasatan ke atas suspek, pihaknya menjumpai satu alat pemotong dawai dan suspek serta alat berkenaan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Rampasan kelima kira-kira 2 pagi semalam ketika anggota PGA sedang melakukan pemantauan di Kampung Kolam menjumpai 19 guni putih dan 20 plastik hitam mengandungi daun ketum masing-masing seberat 570 kg dan 330 kg dengan nilai keseluruhan RM135,000.

Rampasan keenam pada hari sama kira-kira jam 9.44 pagi berhampiran tiang TNB 678 KTJ C-15, ketika pasukan PGA sedang membuat rondaan, ternampak sekumpulan lelaki menunggang motosikal melintasi laluan keselamatan.

Abdul Ghani berkata anggotanya bertindak mengejar dan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai penyeludup.

Hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai tujuh guni putih seberat 210 kg dan empat motosikal pelbagai jenis bernombor pendaftaran Thailand dirampas dengan nilai keseluruhan berjumlah RM41,100 dan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Kesemua barangan rampasan bernilai lebih RM428,000 diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-BERNAMA


Pengarang :