AGENDANASIONAL

PLUS menang tiga anugerah MyGHI 2018

KUALA LUMPUR, 8 DIS: PLUS Malaysia Bhd (PLUS), pengendali lebuh raya terbesar negara, merangkul tiga Anugerah Penarafan Indeks Lebuhraya Hijau (MyGHI) 2018 bagi Kategori Lebuhraya Bertol (Beroperasi).

PLUS Seksyen S4 (Wilayah Selatan) memenangi anugerah Emas, manakala Seksyen C5 (Wilayah Tengah) meraih anugerah Perak dan Seksyen N5 (Wilayah Utara) menerima anugerah “Certified”.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, anugerah berkenaan menyuntik semangat kepada PLUS untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan lebuh raya setiap masa.

Ketiga-tiga anugerah tersebut disampaikan kepada Azman oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan pada majlis penutupan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2019 bertemakan Profesion Bidang Teknikal Teras Kemakmuran Bersama, buat julung kali itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan profesion teknikal dalam landskap kemajuan dan pembangunan negara.

Pameran turut diadakan pada majlis itu yang disertai syarikat korporat dan agensi Kerajaan termasuk Petronas, Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby Property Bhd, Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :