Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Semua pihak bebas beri cadangan

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Tugas Khas adalah pandangan peribadi Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Dr Mahathir berkata, semua pihak bebas untuk bersuara dan memberikan cadangan tetapi sama ada beliau bersetuju atau tidak terpulang kepada dirinya.

“Itu pendapat dia, Malaysia kita bebas bersuara siapa pun boleh buat apa-apa cadangan.

“Kita ada kebebasan bersuara. Anda boleh apa yang anda suka, tapi sama ada saya akan respons atau tidak, apa yang saya fikirkan, saya simpan dalam diri sendiri…,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan A Kadir semalam yang dilapor mencadangkan Anwar dilantik sebagai Menteri Tugas Khas.

Ditanya mengenai Rang Undang-undang Akta Persekutuan (Pindaan) berkaitan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri untuk dua penggal, Dr Mahathir berkata: “Saya sudah 94 tahun. Adakah anda mahu saya jadi Perdana Menteri lagi pada usia 100 tahun”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika dia pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen, menurut rang undang-undang itu.

Oktober lepas, Dr Mahathir berkata, kerajaan merancang untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal.

Perkara itu adalah antara janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas.

– BERNAMA


Pengarang :